Anjing gembala

caption
Seekor kelpie Australia di atas belakang biri-biri
Seekor koolie yang bekerja dengan biri-biri
Anjing gembala biri-biri yang diangkut dengan haiwan ternakan di Fairlie, New Zealand

Anjing gembala, juga dikenali sebagai anjing ternakan atau anjing pekerja, ialah sejenis anjing yang sama ada telah dilatih dalam penggembalaan haiwan ternakan atau tergolong dalam salah satu baka yang dikembangkan untuk penggembalaan. Anjing yang dilatih secara khusus untuk menggembala biri-biri dikenali sebagai anjing gembala biri-biri.

Tingkah laku penggembalaan

Seekor collie sempadan berusia sembilan minggu yang mengarah itik

Semua tingkah laku penggembalaan merupakan tingkah laku pemangsaan terubah suai. Melalui pembiakbakaan terpilih, manusia telah dapat meminimumkan kecenderungan semula jadi anjing untuk melayan lembu dan biri-biri sebagai mangsa sambil secara serentak mengekalkan kemahiran perburuan anjing, lalu mewujudkan anjing gembala berkesan.[1][2]

Anjing dapat mengerjakan haiwan lain dengan pelbagai cara. Sesetengah baka, seperti anjing lembu Australia, biasanya menggigit tumit haiwan (atas sebab ini ia dipanggil anjing penumit) dan corgi Wales Cardigan dan corgi Wales Pembroke dari segi sejarah digunakan dengan cara sama dalam penggiringan lembu yang memindahkan lembu dari Wales ke Pasar Daging Smithfield di London tetapi jarang digunakan untuk penggembalaan kini.

Baka lain, terutamanya collie sempadan, meletakkan diri di hadapan haiwan dan menggunakan hal yang dipanggil mata kuat untuk merenung haiwan berkenaan sehingga tunduk;[3] ia dikenali sebagai header. Header atau anjing pengutip ini mengekalkan haiwan ternakan dalam kelompok. Ia secara tekal pergi ke hadapan atau ke arah kepala haiwan berkenaan untuk membelokkan atau menghentikan pergerakan haiwan itu. Anjing penumit atau anjing penggiring pula terus mendorong haiwan tersebut ke hadapan. Biasanya, ia kekal di belakang kawanan ternakan. Kelpie Australia dan koolie Australia menggunakan kedua-dua kaedah ini dan juga berjalan di sepanjang belakang biri-biri sehingga dikatakan head ("menghala ke kepala"), menumit ("menggigit tumit"), dan membelakang ("berjalan di atas belakang").[1][2][4] Jenis lain seperti anjing gembala Australia, anjing gembala Inggeris, dan anjing gembala Wales adalah bermata sederhana hingga kendur, kerana bekerja dengan lebih bebas. Huntaway New Zealand menggunakan salakan lantang dan dalamnya untuk mengumpulkan kawanan biri-biri.[5] Anjing gembala Belgium Malines, anjing gembala Jerman, dan anjing gembala Brie dahulu merupakan anjing penjaga, yang bertindak sebagai "pagar hidup", yang membimbing kawanan besar biri-biri untuk meragut, sambil menghalang biri-biri tersebut daripada memakan tanaman berharga dan berkeliaran ke jalan raya.

Naluri dan kebolehlatihan penggembalaan dapat diukur semasa memperkenalkan anjing kepada haiwan ternakan atau dalam ujian penggembalaan tanpa persaingan. Individu yang menunjukkan naluri penggembalaan asasi dapat dilatih untuk bertanding dalam ujian penggembalaan.[6]

Peristilahan

Di Australia, di New Zealand, dan di Amerika Syarikat, anjing gembala dikenali sebagai anjing pekerja tanpa mengira pembiakbakaannya.[7] Sesetengah baka gembala bekerja dengan baik dengan mana-mana jenis haiwan; yang lain pula telah dibiakbakakan selama bergenerasi untuk bekerja dengan jenis haiwan spesifik dan telah mengembangkan ciri fizikal atau gaya kerja yang meningkatkan keupayaannya untuk mengendalikan haiwan ini. Haiwan yang biasanya dikumpulkan termasuk lembu, biri-biri, kambing, dan rusa kutub,[6] namun pengendalian ayam itik oleh anjing bukan perkara luar biasa.[1]

Istilah "anjing gembala" kadang-kadang digunakan dengan salah untuk memerihalkan anjing penjaga haiwan ternakan, yang fungsi utamanya adalah untuk menjaga kawanan ternakan daripada pemangsa dan pencurian, dan ia tidak mempunyai naluri penggembalaan. Walaupun anjing gembala boleh menjaga kawanan ternakan, tujuan utamanya adalah untuk menggerakkan haiwan ternakan tersebut; kedua-dua anjing gembala dan anjing penjaga haiwan ternakan mungkin dipanggil "anjing [gembala] biri-biri".

Secara umum apabila mengkategorikan baka anjing, anjing gembala dianggap sebagai subkategori anjing pekerja, tetapi untuk pertunjukan pengakuran, anjing gembala biasanya membentuk kumpulan terpisah.

Australia mempunyai stesen lembu dan stesen biri-biri terbesar di dunia dan sesetengah anjing gembala paling terkenal, seperti koolie, kelpie, anjing penumit merah dan biru yang dibiakbakakan dan terdapat di sana.

Asal usul anjing gembala

Pewujudan baka anjing gembala dikaitkan dengan perkembangan pembiakbakaan lembu. Pembelajinakan biri-biri dan kambing bermula pada alaf ke-8–ke-7 SM. Pada asalnya, proses ini bermula di Asia Barat, di wilayah Iran dan Iraq moden. Penggembalaan biri-biri ialah tugas sukar: para gembala primitif tidak mempunyai kuda dan memindahkan lembu mereka untuk meragut rumput dengan berjalan kaki kerana kuda dan keldai belum dibelajinakkan sepenuhnya dan cukup patuh. Anjing yang sebelum ini membantu manusia dalam perburuan, menjadi pembantu dalam penyelenggaraan haiwan ternakan. Tugas utama untuk anjing pada peringkat awal pembiakbakaan lembu ialah melindungi kawanan daripada pelbagai pemangsa liar, yang sangat banyak.[8]

Relief Rom bagi seorang gembala

Fungsi ini menentukan ciri-ciri anjing gembala: ia perlu kuat, ganas, berani, tegas, dapat berdiri sendirian menentang pemangsa besar dan, yang paling penting, bersedia untuk mempertahankan kawanan ternakannya. Sejarah leluhur anjing gembala dapat dikesan kembali ke enam ribu tahun lalu. Penemuan arkeologi bagi sisa-sisa sendi biri-biri dan anjing bertarikh kembali ke tahun 3685 SM.[9] Tempat asalnya dianggap sebagai wilayah Turki, Iraq, dan Syria moden. Anjing gembala biri-biri disebut dalam Perjanjian Lama, tulisan Cato yang Tua dan Marcus Terentius Varro. Imejnya ditemukan dalam karya seni yang dicipta lebih daripada dua ribu tahun lalu. Anjing ini digunakan bukan hanya untuk menjaga kawanan ternakan, tetapi juga untuk tujuan ketenteraan.[10]

Dari rantau-rantau Asia Barat, penggembalaan tersebar ke barat dan ke utara, diikuti oleh peningkatan bilangan haiwan bela jinak. Di wilayah Eropah, pendahulu kepada anjing gembala muncul pada abad ke-6 hingga ke-7 SM. Menurut penyelidikan arkeologi, pembiakbakaan lembu dan pertanian tersebar ke seluruh Eropah dengan cara berlainan: di sepanjang Sungai Donau dan Sungai Rhein ke wilayah Jerman moden, Perancis utara, dan Belanda, melalui Laut Mediterranean ke Pergunungan Alp, menaiki Sungai Rhône ke Perancis tengah dan barat daya.[8][9]

Perkembangan pertanian, peningkatan bilangan petempatan, dan pengasasan kota telah menyebabkan penurunan bilangan pemangsa. Selepas kepupusan pemangsa besar di kebanyakan Eropah dan Great Britain, dengan penyebaran besar-besaran pembiakbakaan biri-biri dan dengan peningkatan bahagian tanah cucuk tanam dan berpenduduk, tugas utama anjing gembala adalah untuk melindungi tanaman, kawasan persendirian dan kawasan terlindung daripada kerosakan semasa merumput dan penggerakan kawanan ternakan. Anjing gembala lebih sesuai untuk kerja ini berbanding dengan baka lebih besar dan lebih kuat, kerana bersaiz sederhana dan mudah alih. Anjing sedemikian menguruskan haiwan ternakan kecil dan besar, serta burung bela jinak. Sebagai tambahan kepada jenis gembala Eropah Tengah, satu lagi jenis anjing telah muncul, kerap dengan bulu tebal, yang lebih sesuai untuk kawasan lebih sejuk. Anjing ini telah menunjukkan bukan hanya keupayaan untuk menguruskan kawanan ternakan, tetapi juga untuk melindungi kawanan tersebut. Dengan penyebaran pembiakbakaan rusa kutub dalam kalangan orang utara, anjing pemburu mirip spits telah "dilatih semula" menjadi gembala.[10]

Kebanyakan baka anjing gembala Eropah Tengah – dengan telinga tegak dan bulu pendek pada kepala, yang serupa dengan serigala, terutamnya terbentuk pada abad ke-16 hingga abad ke-17. Baka anjing berbulu keriting daripada jenis Eropah Utara terbentuk kemudian.[8]

Ciri fizikal

Semasa proses pemilihan, ciri fizikal anjing dibentuk, lalu membolehkannya melakukan tugasnya dengan cara terbaik yang mungkin. Tanpa mengira keadaan kerja anjing gembala dan fungsi yang dilaksanakan, kesemuanya mempunyai sebilangan ciri lazim. Anjing gembala adalah kuat dan mempunyai banyak stamina. Kakinya terlindung dengan baik daripada duri dan batu tajam: jari kaki termampat menjadi ketulan ketat, tapak kakinya tebal, dan cakarnya kuat. Lapis bulunya mempunyai struktur dan ketumpatan untuk melindunginya daripada kebasahan dan suhu melampau yang lazim di rantau asal usul baka. Semua anjing gembala mempunyai penglihatan dan pendengaran cemerlang. Warna anjing lembu berbeza-beza dan bergantung pada pilihan pembiak baka tempatan, tetapi semua anjing gembala patut mempunyai kelopak mata, bibir, hidung, dan tapak kaki yang berpigmen dengan baik, kerana kulit merah jambu terlalu lembut dan terdedah kepada luka dan selaran matahari.

Lihat juga

Rujukan

  1. ^ a b c Renna, Christine Hartnagle (2008). Herding Dogs: Selection and Training the Working Farm Dog (dalam bahasa Inggeris). Kennel Club Books (KCB). ISBN 978-1-59378-737-0.
  2. ^ a b Hartnagle, Jeanne Joy. Herding I, II, III (dalam bahasa Inggeris). Canine Training Systems (CTS).
  3. ^ "Heading dogs, huntaways and all-purpose dogs", Te Ara (Inggeris)
  4. ^ Hartnagle-Taylor, Jeanne Joy (2005). All About Aussies (dalam bahasa Inggeris). Alpine Publications. ISBN 1-57779-074-X.
  5. ^ "Sheep Herding Dogs". RaisingSheep.net (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 21 Mei 2024.
  6. ^ a b Hartnagle-Taylor, Jeanne Joy; Taylor, Ty (2010). Stockdog Savvy (dalam bahasa Inggeris). Alpine Publications. ISBN 978-1-57779-106-5.
  7. ^ "DOGS, WORKING" (Inggeris), 1966, An Encyclopaedia of New Zealand
  8. ^ a b c Hancock, David (31 Ogos 2014). Dogs of the Shepherds: A Review of the Pastoral Breeds (dalam bahasa Inggeris). Crowood. ISBN 978-1-84797-809-7.
  9. ^ a b Grandin, Temple (2007). Livestock Handling and Transport (dalam bahasa Inggeris). CABI. ISBN 978-1-84593-220-6.
  10. ^ a b Serpell, James; Serpell, Professor of Humane Ethics & Animal Welfare James; Barrett, Priscilla (21 September 1995). The Domestic Dog: Its Evolution, Behaviour and Interactions with People (dalam bahasa Inggeris). Cambridge University Press. ISBN 978-0-521-42537-7.

Pautan luar

  • Takrif gaya anjing gembala (Inggeris)
  • Rencana tentang anjing gembala Jerman dalam penggembalaan (Inggeris)
  • Pengendalian haiwan ternakan (Inggeris) Diarkibkan 9 Jun 2019 di Wayback Machine
  • Profil Anjing Kumpulan Gembala AKC (Inggeris)
  • l
  • b
  • s
Tingkah laku
Kesihatan
Pelatihan
Jenis
Baka
Kerja
Interaksi
manusia–anjing
  • Kategori Kategori
  • l
  • b
  • s
Anjing gembala dan penggiring

Templat:Haiwan pekerja